Tuesday, July 6, 2010

PROGRAM GAYA-SATU INOVASI

PERKONGSIAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN CEMERLANG
(PROGRAM GAYA - SATU INOVASI).


Oleh;
ABDUL GHANI ABDUL HAMID,
SK. TAMBUN TULANG, 02600 ARAU, PERLIS.
GURU INOVATIF KATEGORI INDIVIDU PRASEKOLAH,
SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN 2006.




1.0 PENGENALAN
Pengalaman kanak-kanak pada peringkat awal mempengaruhi pembelajaran dan
perkembangan mereka seterusnya. Proses perkembangan kanak-kanak adalah berterusan.
Oleh itu, persediaan dan pengalaman awal kanak-kanak memerlukan pembelajaran yang
terancang, menarik dan relevan dengan perkembangan semasa serta dapat memenuhi
keperluan individu kanak-kanak. Selain itu kita perlu memikir dan mempertimbangkan
kemampuan, keupayaan, kebolehan dan kesediaan
kanak-kanak mengikut tahap
perkembangan mereka. Guru kepada kanak-kanak pada peringkat awal perlu lebih kreatif dan fleksibel dalam pengajaran mereka. Mereka harus peka pada tahap perkembangan dan ciri-ciri peribadi setiap kanak-kanak dan mengubahsuai teknik pengajaran mereka mengikut keperluan kanak-kanak tersebut.


Dalam melaksanakan program tadika atau prasekolah, guru dan pelaksana tadika seharusnya mengetahui dan memahami perkembangan kanak-kanak pada peringkat umur 3 hingga 6 tahun. Ini bertujuan agar mereka boleh mengguna dan menterjemahkan kurikulum mengikut kesesuaian peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat murid. Untuk keberkesanan pendidikan awal kanak-kanak kurikulum perlu dirancang dan distrukturkan mengikut; titik permulaan pembelajaran kanak-kanak mengikut apa yang mereka tahu dan boleh buat; bahan atau kandungan dan aktiviti pembelajaran yang sepadan dengan tahap dan keperluan kanak-kanak; merancang aktiviti yang bertujuan dan bermakna untuk memberi peluang kepada pengajaran dan pembelajaran di luar dan di dalam bilik darjah (Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003).

Justeru itu, Program GAYA; adalah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi mengenal bentuk huruf besar dengan cara menggunakan atau menggayakan bentuk badan sendiri. Perkataan GAYA itu sendiri adalah akronim bagi gabungan beberapa patah perkataaan yang membawa maksud Gerakan Aksi Yang Akrobatik. Gerakan badan ketika membentuk huruf akan mengukuhkan lagi kefahaman kanak-kanak terhadap sesuatu konsep pembelajarannya kerana ia melibatkan kemahiran asas proses mental, fizikal, dan emosi kanak-kanak. Maksudnya di sini, ialah konsep saya lihat, saya tiru, saya buat, saya faham dan saya saya seronok diutamakan dalam program ini. Jadi konsep mengenal huruf ini menjadi asas bagi proses yang seterusnya yang lebih kompleks lagi iaitu proses membaca. Kita pernah mendengar nada ayat sebegini, ‘ Tidak tahu membaca itu adalah buta huruf!’. Dengan itu, Program GAYA ini adalah kaedah inovasi dan altenatif yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk belajar mengenal lambing-lambang huruf dengan cepat dan seronok.

2.0 LATAR BELAKANG
Program GAYA ini pada mulanya dijalankan secara eksperimen terhadap kanak-kanak prasekolah di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang, Arau, Perlis pada tahun 2006 oleh guru prasekolahnya sendiri. Tahun sebelumnya beliau hanya menggunakan kaedah ini secara ‘hangat-hangat tahi ayam’ terhadap murid-murid yang terlalu lemah dan lambat untuk mengenal lambang huruf-huruf terutamanya pada awal semester 2 sahaja. Pada tahun 2006, beliau telah dipilih mewakili negeri Perlis dalam Pertandingan Guru Inovatif Kategori Individu Prasekolah menggunakan program ini.

Kedudukan sebelum inovasi dilaksanakan ialah terlalu ramai muridnya yang tidak mengenal bentuk huruf terutama huruf besar. Walaupun ada segelintir daripada murid-murid pernah melalui atau memasuki pusat tadika sebelumnya namun kebanyakan daripada mereka hanya boleh menyebut atau menghafal hurufnya sahaja. Apabila ditanya huruf yang disebut secara rawak mereka terpaksa menyebut huruf dari awal iaitu huruf A dan seterusnya sehinggalah menyebut huruf yang ditanya secara rawak tadi. Malahan ada dikalangan murid yang tidak mengenali huruf yang disebut dengan berkata tidak tahu.

Murid-murid gagal mengecam bentuk huruf yang disebut atau ditunjukkan dengan baik. Dengan itu mereka mengalami kesukaran memahami konsep bagi lambang-lambang huruf besar yang diajarkan oleh guru. Masalah-masalah ini akan menimbulkan kesulitan kepada guru sekiranya mahu memperkenalkan konsep membaca terhadap mereka nanti. Ini kerana proses membaca akan melibatkan sebutan lambang-lambang huruf yang mewakili bunyi-bunyi tertentu. Menurut Smith (1978), membaca merupakan percantuman beberapa proses yang kompleks, iaitu proses mengamati, mengingat, mendengar dan membezakan bunyi-bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut lambang-lambang huruf yang mewakili bunyi-bunyi tertentu, menggabungkan bunyi-bunyi untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang dibaca itu kepada system kognitif untuk difahami dan diterjemah.

Bersesuaian dengan kelemahan yang dihadapi oleh murid-murid prasekolahnya maka Program GAYA ini dilaksanakan agar murid-murid dapat menerima satu jalan atau cara yang mudah, dekat, selamat, sesuai dan menggembirakan ketika mereka belajar mengenal, mengecam dan membentuk bentuk huruf dengan kadar yang cepat. Guru pula tidak perlu mencari bahan atau peralatan mengajar yang jauh dan mahal, padahal dengan menggunakan anggota badan sendiri ia terlalu dekat, murah dan praktikal. Gunakan anugerah Allah(Tuhan) dengan sebaiknya.

3.0 OBJEKTIF PROGRAM
Secara umumnya, program GAYA ini dapat memberikan perubahan pembelajaran dengan cepat ketika mengenal, mengecam , membentuk dan menulis bentuk huruf besar. Secara khususnya pula, mengikut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (2003), pada akhir pembelajaran GAYA ini, kanak-kanak dapat ;
•Menyebut huruf mengikut urutan dan secara rawak
•Mengenal bentuk huruf kecil dan huruf besar
•Mengawal koordinasi anggota badan ketika melakukan asas-asas gimnastik
•Membuat pergerakan menggunakan seluruh anggota badan
•Menunjukkan potensi diri dengan yakin
•Menyatakan kedudukan sesuatu objek di dalam ruang

4.0 KAEDAH PROGRAM
Inovasi yang dijalankan melalui Program GAYA ini ialah, pertamanya berkaitan bahan yang digunakan. Bahan utama yang digunakan oleh guru dan murid-murid ialah anggota badan mereka sendiri. Anggota badan adalah anugerah Allah yang boleh dimanipulasikan dengan baik dan bermanfaat. Guru tidak perlu menyediakan dan membeli bahan yang mahal cuma mungkin bahan lain itu diperlukan untuk aktiviti susulan sahaja. Konsep bahan yang mudah digunakan, dekat dengan persekitaran murid, tanpa kos yang tinggi, sesuai dengan perkembangan murid cuba ditekankan di dalam program ini.

Kandungan program GAYA ini merangkumi 6 modul pengajaran dan pembelajaran, 6 teknik pembelajaran, 6 sesi latihan atau aktiviti lanjutan, 6 penilaian melalui rekod pemerhatian aktiviti atau hasil kerja murid serta 1 Buku Panduan Guru. Contohnya ditunjukkan melalui jadual di bawah ;


MODUL KANDUNGAN TEKNIK P&P LATIHAN / PENILAIAN CATATAN
P&P (HURUF) AKTIVITI / BANTUAN LANJUTAN

Pelajaran 1
I, T, Y, A, X
Nyanyian dan Gerakan (Tegak Berdiri)
Literasi Komputer, Main Doh dan sebagainya

Penilaian 1
Buku Panduan Guru

Pelajaran 2
F, E, J, L, U
Aksi Robot (Tiru MacamSaya)
Literasi komputer, Melukis orang lidi huruf, melukis robot huruf dan

Penilaian 2
Buku Panduan Guru

Pelajaran 3
B, R, K, P, H (permainan Menekap huruf, kumpulan)
Kuiz Literasi computer, menulis huruf

Penilaian 3
Buku Panduan Guru

Pelajaran 4
D, C, G, O, Q
Aktiviti Luar/fizikal (Senamrobik)
Literasi computer, Menulis huruf pada pasir, membuat kolaj huruf,

Penilaian 4
Buku Panduan Guru

Pelajaran 5
N, M, W, V, S,Z
Bercerita (Awang Literasi computer, Berlakon, Manan menulis huruf dan sebagainya)

Penilaian 5
Buku panduan Guru

Pelajaran 6
A - Z
Permainan Bahasa, Literasi computer, Susun huruf ( SusunCepat), tulis ikut turutan dan
sebagainya

Penilaian 6
Buku Panduan Guru

Dengan mengaplikasikan pendekatan pengajaran yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak seperti seperti pendekatan bersepadu, bertema, bermain melalui belajar dan ICT di dalam program ini, kanak-kanak menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar. Walaupun teras pembelajaran adalah berfokuskan Komponen Bahasa dan Komunikasi namun wujud penggabungjalinan dengan komponen lain seperti komponen perkembangan fizikal, perkembangan kreativiti dan estetika, perkembangan emosi.

Kepelbagaian teknik pengajaran yang digunakan di dalam program ini bertujuan agar murid-murid tidak mudah jemu dengan sesuatu teknik. Teknik-teknik pengajaran seperti nyanyian, gerakan, aksi robot, kuiz bahasa, senamrobik, bercerita, berlakon dan permainan bahasa sekiranya diajar secara berkesan mampu mengubah persepsi murid supaya melibatkan diri secara aktif di dalam pembelajarannya. Malahan setiap aktiviti yang diajar boleh dibuat sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

5.0 BENTUK KEJAYAAN
Pengurangan kos operasi : Bahan yang digunakan adalah bahan maujud dan bahan yang berdekatan pada diri guru dan murid sendiri iaitu anggota badan mereka. Kos penyediaan bahan dapat disifarkan. Dengan menggunakan badan sendiri murid secara spontan beraksi menggayakan lambang huruf yang dipelajari.

Penjimatan masa : pada setiap sesi pengajaran dengan kepelbagaian pendekatan, teknik dan strategi murid-murid menunjukkan minat dan respon yang baik. Dengan itu murid dapat mengenal lambang huruf dengan cepat kerana mereka melakukan aktiviti itu sendiri. Guru berperanan sebagai pembimbing sahaja. Dengan menerapkan konsep ‘saya buat saya tahu/faham’ murid mampu menghubungkaitkan huruf gaya badan kepada lambang huruf yang sebenarnya ketika mereka melakukan aktiviti menulis. 80% murid berjaya mengenal lambang huruf dalam masa sebulan mempelajarinya.

Peningkatan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran : Aktiviti pengajaran dan pembelajaran adalah berpusatkan murid. Secara mudahnya setiap murid mewakili satu lambang huruf dan mereka dinamakan huruf berkenaan. Contohnya 25 orang murid mewakili 25 lambang huruf dan guru juga mempunyai hurufnya sendiri, jadi jumlahnya ialah 26 huruf. Murid melakukan aktiviti dengan aktif kerana mereka mahu melakukan sendiri. Ini menunjukkan mereka seronok belajar. Guru hanya menjadi pemudah cara dan pembimbing bagi murid-murid yang menghadapi masalah ketika melakukan aksi huruf berkenaan. Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai kerana murid aktif dan seronok menggayakan huruf.

Peningkatan dalam Tahap Kepuasan Hati Guru/Murid: guru dan murid berasa ‘enjoy’ ketika melakukan aktiviti kerana guru boleh mempelbagaikan teknik pembelajarannya. Tumpuan murid lebih terfokus kerana setiap aktiviti berbeza cara menguasainya. Malahan aktiviti lanjutan seperti literasi computer pada setiap berakhirnya pengajaran membuatkan murid-murid berebut untuk belajar mengenal huruf menggunakan computer pula.

Faedah-Faedah Lain : aktiviti di dalam program ini juga boleh diperkenalkan kepada murid-murid Tahun 1, KIA 2M, murid Pemulihan dan murid bermasalah pembelajaran seperti masalah pertuturan dan pendengaran.

6.0 KESIMPULAN
Menurut Montessori, minda kanak-kanak mudah menyerap sesuatu maklumat yang diterima melalui deria mereka, sebelum mereka bersedia untuk diajarkan konsep tersebut (Rohani Abdullah etc, 2004). Dengan menggunakan gaya badan untuk mewakili lambang huruf-huruf murid-murid menerima maklumat melalui deria mata dan telinga. Aktiviti yang dilakukan sendiri menguatkan penerimaan dan pemahaman sesuatu konsep lambang huruf yang dipelajarinya. Seterusnya mereka menggunakan deria pertuturan ketika menyebut nama-nama huruf berkenaan dan akhirnya mereka boleh menulis huruf yang dipelajari dengan baik. Bahan
pembelajaran bagi program GAYA ini adalah seakan-akan bahan pembelajaran Montessori yang berbentuk ‘betul diri’ (self correcting). Kanak-kanak dikehendaki meniru dan mengulang apa yang mereka pernah perhatikan.

Program GAYA juga bersesuaian dengan penekanan Imam Ghazali(dalam Rohani Abdullah etc, 2004) dalam menguasai konsep pembelajaran bagi kanakkanak. Bagi beliau, kanak-kanak perlu dididik sejak lahir dan diajar mengenai huruf, menulis dan membaca. Dengan menggayakan lambang huruf menggunakan anggota badan sendiri murid-murid secara tidak langsung diberi latihan jasmani bagi membina kekuatan tubuh badan, kecerdasan minda dan mengelakkan kemalasan. Jadi program GAYA ini merupakan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang
kreatif dan menggembirakan. Malahan pendekatan yang tidak terikat kepada satu strategi yang tertentu membenarkan kanak-kanak mengoptimunkan pembelajaran mereka secara yang menyeronokkan. Murid-murid yang belajar dalam suasana ini sudah pasti tidak jemu dengan aktiviti pembelajaran GAYA.

Kesimpulannya, dengan kepelbagaian pendekatan, teknik, mempunyai aktiviti susulan/latihan, ada proses penilaian dan sumber rujukan guru, menunjukkan Program GAYA merupakan satu kaedah pembelajaran yang terancang, menyeluruh dan mampu menarik minat murid. Semoga program ini dapat disebarluaskan dan boleh dimanfaatkan sehingga akhir dunia.

Sekian ….SELAMAT BELAJAR DAN MENGAJAR

0 comments:

Post a Comment

SEKOLAH DAN KAMPUS ONLINE

Study Room Safety Tips Education Centre Section
@ Campus
Search Uni/College/Course Here:  

KITAB

KITAB ARAB

Converter Jawi

INFO BLOG PENDIDIKAN

RUANGAN DISKUSI